Friday, April 10, 2015

‘Ulat’ rakus kenakan tambang RM800

Nasional - Utusan Online



'Ulat' rakus kenakan tambang RM800

Che Hasni Che Ahmad (kanan) melihat sepuluh kenderaan yang berjaya

SEPANG 10 April - Walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Da­rat (SPAD) melakukan pe­nguatkuasaan setiap hari, namun ulat-ulat dan pengusaha kereta sapu seakan-akan tidak gentar dan masih bermaharajalela di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk di terminal klia2.

Terbaharu, ulat-ulat yang tamak ini bertindak menawarkan tambang sehingga RM800 untuk perjalanan ke sekitar Kuala Lumpur.

Caj ini 10 kali ganda lebih mahal berbanding tambang teksi berkupon yang berharga cuma kira-kira RM80 untuk perjalanan yang sama.

Mendedahkan demikian, Pe­ngurus Besar Bahagian Penguat­kuasaan SPAD, Datuk Che Has­ni Che Ahmad berkata, ulat-ulat tersebut sering menyasarkan pe­lancong asing dan perbuatan mereka yang tamak telah mencemarkan imej pemandu teksi Malaysia di mata dunia.

"Ulat-ulat ini mengenakan harga yang berbeza mengikut sasaran, mereka tergamak mengenakan tambang sehingga RM400, RM600 malahan RM800 kepada pelancong dari Asia Barat yang kelihatan kaya.

"Untuk pelancong atau pekerja asing yang nampak kurang berada pula, mereka akan menawarkan harga lebih murah," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di kedua-dua lapangan terbang itu di sini semalam.

Hasil daripada operasi itu, sembilan pengusaha kereta sapu yang menjalankan perniagaan pengangkutan awam tanpa lesen dan empat ulat telah ditahan.

Kesemuanya dimasukkan ke dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang sementara menunggu pendakwaan di mahkamah.

Che Hasni berkata, ulat-ulat yang mendesak penumpang menggunakan perkhidmatan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan jika disabit kesalahan, akan dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pengusaha kereta sapu boleh didakwa di bawah Seksyen 16 APAD 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, kenderaan yang digunakan sebagai kereta sapu juga boleh dilucut hak milik. SPAD dalam operasi ini telah menyita sembilan kenderaan yang disyaki digunakan sebagai kereta sapu di KLIA (enam buah) dan klia2 (tiga buah)," katanya.

Mengenai operasi bersepadu semalam, Che Hasni berkata, pihak SPAD telah melakukan risikan selama empat hari di KLIA dan klia2 untuk mengenal pasti ulat-ulat yang bertapak di situ.

"SPAD antaranya telah memanfaatkan kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang untuk mengenal pasti ulat-ulat ini. Kebanyakan ulat yang ditangkap berumur 30-an dan 40-an," katanya.

Menurut Che Hasni, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut menyertai operasi tersebut turut mendapati lima pemandu teksi dan pengusaha kereta sapu positif dalam pemeriksaan dadah yang dijalankan.

"Selain itu, seorang pemandu limosin turut dikenakan tindakan kerana mengambil penumpang di lapangan terbang walaupun mereka tidak diizinkan berbuat demi­kian," katanya.

0 comments :

Post a Comment