Malaysia sokong lindungi warisan dunia
PARIS 15 April – Malaysia akan terus berperanan menyokong usaha melindungi kebudayaan dan warisan di seluruh dunia sebagai keutamaan agenda Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemusnahan artifak dan seni yang semakin meningkat kebelakangan ini adalah satu bentuk serangan kepada sejarah, identiti dan peradaban yang menjadi cabaran kepada semua pihak untuk menanganinya.
Katanya, sebab itu, adalah mendukacitakan apabila melihat banyak tapak bersejarah serta warisan kebudayaan dimusnahkan disebabkan konflik politik, sosial dan agama di seluruh dunia.
"Dalam usaha semua pihak untuk memelihara warisan di seluruh dunia bagi dikongsi bersama, kita berasa sedih apabila melihat artifak, dokumen dan seni yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan peradaban dimusnahkan," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Seni dan Kebudayaan Tidak Ketara Malaysia di Ibu Pejabat UNESCO di sini malam tadi.
Yang hadir sama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Getachew Engida.
Pameran yang menghimpunkan pelbagai khazanah seni dan budaya di Malaysia termasuk batik, ukiran, tarian dan wayang kulit itu berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis.
Sementara itu, kata Muhyiddin, Malaysia sendiri sedang mengusahakan projek yang dinamakan 'Kuasa Budaya: Usaha Menyokong Pengurusan Komuniti dan Pembangunan Mapan Tapak Warisan di Asia Tenggara menerusi kerjasama Pejabat UNESCO Jakarta.
"Menerusi projek ini, kami berharap mampu melahirkan satu kaedah bagaimana membentuk pelancongan yang mapan, memenuhi falsafah UNESCO dalam meningkatkan serta mengintegrasikan aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial kepada pembangunan negara," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, kepelbagaian kesenian dan budaya adalah warisan yang tiada galang ganti serta menjadi sumber kekayaan intelektual.
Katanya, sebab itu, dipilih menjadi salah satu anggota Jawatankuasa Warisan Dunia adalah satu pengiktirafan besar buat Malaysia kerana dapat menyumbang ke arah memelihara dan memulihara khazanah dunia.
"Malaysia sendiri dilimpahi dengan aset tidak ternilai sama ada dalam bidang kebudayaan mahu pun keindahan alam. Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama telah membentuk khazanah negara," katanya.






0 comments :
Post a Comment