Daerah dibekal bot kecil hadapi banjir
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan menyalurkan bot berkenaan bersama sebuah enjin 15 kuasa kuda dalam masa terdekat.
Kata beliau, bot itu penting kerana boleh digunakan dalam saat kecemasan selain di kawasan sempit sebelum menunggu bantuan daripada agensi keselamatan tiba.
"Bot ini akan disimpan di pejabat daerah. Kita juga galakkan wakil rakyat menyumbang tambahan bot sebagai khidmat kepada masyarakat. Bot itu boleh memuatkan enam orang dan berharga kurang daripada RM8,000 bersama sebuah enjin kecil," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pertubuhan Gerakan Bencana Malaysia di sini, hari ini.
Shahidan seterusnya memberitahu, pada masa akan datang, jentera hadapan menghadapi bencana adalah pegawai daerah dan bukannya agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau yang juga Pengerusi MKN berkata, pegawai daerah akan bertanggungjawab memberi arahan kepada penduduk, iaitu selepas hasil perbincangan dengan agensi keselamatan.
"Justeru, kita mahu setiap daerah mempunyai kelengkapan seperti bot serta bergerak sendiri di saat kecemasan dan bukannya semata-mata hanya menunggu tindakan daripada MKN dan agensi lain. Pegawai MKN bertindak sebagai sekretariat yang hanya berada di peringkat negeri sahaja. Kita akan mengadakan simulasi bersepadu bencana yang melibatkan semua pihak ini tidak lama lagi," ujarnya.






0 comments :
Post a Comment