Sunday, April 19, 2015

Caj perkhidmatan: KPDNKK terima 412 aduan, periksa 787 premis

Ekonomi - Utusan Online
BUKIT MERTAJAM 19 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa 787 hotel dan restoran bagi menangani isu caj perkhidmatan di seluruh negara.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sehingga semalam sebanyak 412 aduan diterima dengan 88 premis diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Operasi itu dijalankan bermula 8 April dan berdasarkan aduan diterima, kami akan buat siasatan sama ada berlaku pengambilan keuntungan margin tidak munasabah.

"Pengusaha diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan invois dan dokumen berkaitan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNKK akan terus memberi penerangan tentang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain turun padang melakukan pemeriksaan secara berkala bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Alias berkata, secara kumulatif setakat semalam sebanyak 120,884 premis diperiksa dan pihaknya memantau ketat terutama kadar harga jualan bahan mentah serta basah supaya tidak berlaku kenaikan yang ketara. 

0 comments :

Post a Comment