Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sejak Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) ditubuhkan pada 1981 sehingga 2009, PNB menggembleng dana berjumlah 100 bilion unit tetapi jumlah itu meningkat sekali ganda sehingga tahun ini.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat terhadap pelaburan unit amanah di bawah PNB semakin meningkat dari semasa ke semasa.
"Kita harapkan dengan pengumuman Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2 ) yang baru diumumkan pada Mac lalu dengan mencatat agihan pendapatan 7.75 sen seunit walaupun baru dilancarkan tahun lalu dapat membuka mata masyarakat tentang pelaburan di bawah unit amanah PNB.
"Penganjuran program-program seperti Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) menjadi medan terbaik untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang kepentingan melabur dan merancang kewangan," katanya selepas melakukan lawatan ke tapak khemah MSAM 2015 di sini hari ini.
MSAM 2015 yang bermula hari ini hingga 27 April, akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.
Sepanjang sembilan hari acara tersebut, pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai 40 peserta terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen ASNB, badan kawal selia serta agensi kerajaan dan swasta.
Antara program tersebut termasuklah pameran hartanah dan permotoran serta program yang dibawa oleh Rakan-rakan MSAM seperti Maybank Mewarnai Duniaku, CCM Interschool Showdown, Jejak Pelabur Bijak NSB, Jejak Pelabur Cilik I&P, Cabaran Pengurusan Kewangan ASNB, Pertandingan Cendekiawan Muda PNB dan Seminar Perancangan Kewangan.





