Caj perkhidmatan 10 peratus dihapuskan?
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kajian terperinci dari segi undang-undang perlu dijalankan terlebih dahulu kerana jika dihapuskan ia akan memberi kelebihan kepada pengguna.
"Jika dihapuskan, pengguna hanya perlu membayar harga barang dan perkhidmatan sahaja tanpa caj sampingan dan pihak majikan tidak boleh memanipulasi pekerja mereka.
"Pihak kementerian tidak mahu isu caj perkhidmatan ini mengelirukan pengguna selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kebanyakan pengguna beranggapan ia adalah caj di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Hasan berkata, orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mempersoalkan sama ada hasil kutipan caj perkhidmatan itu disalurkan kepada pekerja atau keuntungan sampingan syarikat.
Dalam hal ini, beliau menjelaskan, kutipan tersebut seharusnya diberikan oleh pengguna atas layanan dan perkhidmatan pekerja kepada pengguna.
"Caj perkhidmatan bagi industri perhotelan adalah tetap pada kadar 10 peratus manakala caj perkhidmatan bagi industri makanan dan minuman adalah dari lima hingga 10 peratus," katanya.
Menurutnya lagi, peraturan penandaan atau notis caj perkhidmatan untuk restoran dan hotel di negara ini telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tujuan menyeragamkan saiz perkataan serta perkataan yang akan digunakan untuk notis berkenaan.
Beliau berkata, pengguna boleh membuat aduan jika terdapat mana-mana restoran atau hotel yang tidak memaklumkan mengenai caj perkhidmatan yang akan dikenakan dalam menu atau senarai harga di premis masing-masing.






0 comments :
Post a Comment