Friday, April 10, 2015

CCM perluas biosimilar industri perubatan

Nasional - Utusan Online


CCM perluas biosimilar industri perubatan

Muzdalifah Mustapha
11 April 2015 1:59 AM

SEOUL 10 April - Chemical Company Malaysia Bhd. (CCM) yakin mampu memperluaskan bidang bioteknologi biosimilar dalam industri perubatan negara dan menjadi salah sebuah syarikat farmaseutikal yang menguasai bidang tersebut di peringkat antarabangsa.

ABD. RAHMAN ABDULLAH THANI

Pengarah Bahagian Perhubu­ng­an Kerajaan CCM, Abd. Rahman Abdullah Thani berkata, keyakinan itu mengambil kira CCM sebagai syarikat biofarmaseutikal pertama menceburi bidang biosimilar serta syarikat pertama bioterapeutik yang dibangunkan dalam negara dan menjadi syarikat kedua yang membangunkan Alfa-Epoetin biosimilar secara global.

Sehubungan itu, katanya, CCM yang menjalin kerjasama dengan syarikat bioteknologi Korea, PanGen Biotech, Inc. (PanGen) telah merintis ujian klinikal Fasa III untuk biosimilar erythropoietin (EPO) bagi me­rawat anemia dalam kalangan pesakit buah pinggang yang berada di tahap akhir.

"Sudah tiba masanya negara menggunakan dadah jenis erythropoietin yang lebih berkualiti, selamat dan berkesan menerusi biosimilar. Sasaran CCM adalah untuk memulakannya dan jika sebelum ini biosimilar tidak dikenali tetapi selepas CCM menceburinya, industri perubatan sudah mula membuka ruang untuk bidang itu.

"Meskipun bioteknologi biosimilar memerlukan modal yang tinggi tetapi merupakan satu perniagaan yang dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 12 peratus di Asia dan mencecah sehingga kira-kira RM8 bilion bagi rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi penerangan berhubung teknologi biosimilar bersama PanGen di Seoul, Korea.

Abd. Rahman berkata, CCM sememangnya berada pada landasan yang tepat dalam memperluaskan bidang biosimilar berdasarkan garis pan­duan yang ketat menerusi Biro Kawalan Farmaseutikal Antarabangsa.

Menurutnya, CCM juga telah mengambil langkah meningkatkan penglibatan kerjasama dengan PanGen yang mempunyai kepakaran dalam bidang biosimilar menerusi pembelian 11.6 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat bioteknologi Korea itu.

Dalam hubungan itu, katanya, CCM juga melantik penasihat perubatan yang berpengalaman supaya ujian klinikal biosimilar yang dijalankan dapat terus diamalkan dengan betul dan selamat oleh pihak hospital ke atas pesakit.

"CCM juga akan membantu PanGen untuk memperluaskan hasil penyelidikan mereka ke negara-negara luar kerana langkah itu akan memberi pulangan kepada syarikat berikutan menjadi pemegang saham dalam PanGen.

"Melalui usaha itu CCM menjangkakan hospital-hospital yang menggunakan biosimilar akan mendapat kesan positif kerana subsidi akan diberikan oleh kerajaan dalam penggunaan bioteknologi biosimilar," katanya.

Biosimilar dibangunkan dengan menggunakan kandungan genetik dan direka bentuk untuk mengandungi tindakan mekanisme yang sama dalam hal keselamatan dan keberkesanan seperti yang terdapat di produk-produk biofarmaseutikal sedia ada.

0 comments :

Post a Comment